Wednesday, February 4, 2009

WANITA & TABARRUJ



Wanita ialah hiasan duniawi. Juga sebagai penyeri dunia dalam melengkapkan lagi hubungan sesama manusia. Wanita bukan dirindu daripada manusia biasa, malah Adam juga turut sunyi tanpa Hawa.

Istimewanya wanita ialah dicipta dari rusuk lelaki. Bukannya dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk dijunjung tapi dekat di bahu untuk dilindungi, malah dekat dihati untuk dikasihi dan dicintai.

Tabarruj pula bermaksud mendedahkan paras rupa serta kecantikan sama ada kecantikan muka atau anggota badannya yang lain. Al-Bukhari rahmatullah ‘alaihi ada berkata: “tabarruj, iaitu seorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya”.

Untuk menjaga masyarakat daripada pendedahan aurat yang mana akan memusnahkan diri mereka sendiri kelak, maka Allah melarang wanita yang berakal dan telah pun baligh dari bertabarruj.

Menurut Ustaz Khairi Mahyuddin Pensyarah Program Dakwah dan Kepimpinan, Berpendidikan Sarjana dalam bidang yang sama, wanita yang berakal bermaksud syarat kepada kematangan dalam berfikir. Dan dapat menilai perkara yang baik dan buruk sama ada dalam berpakaian dan juga kehidupan.

“Seksi bukan bergantung pada pakaian keseluruhannya, tapi ia adalah penilaian kepada orang yang memandangnya”, katanya.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan jangan mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”. (An-Nur: 31)

Dengan ini jelaslah bahawa sebarang corak perhiasan boleh mendatangkan fitnah dan musibah jika ia tidak dipatuhi. Hanya wanita yang benar-benar beriman sahaja yang berjaya mentaati perintah ini.

Menurut Dr.Mohd Rumaizuddin b. Musa @ Ghazali, Pensyarah dan Felo Pemikiran dan Siyasah Islam, menahan pandangan bermaksud tidak memandang sama ada lelaki dan perempuan dengan hawa nafsu.

“Ayat ini lebih menjurus kepada wanita kerana pandangan wanita adalah amat bahaya dan boleh mendatangkan fitnah, begitu juga Allah melarang wanita dalam melunakkan suara ketika berkomunikasi dengan lelaki ajnabi,” katanya.

Sejak dahulu lagi, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan seperti ‘irama dan lagu’, ini kerana ia adalah satu sifat semulajadi wanita tentang keakrabannya dengan perhiasan.Wanita juga adalah mahluk yang kerap menjadi komoditi dan mode. Pelbagai kosmetik, wangian, fesyen pakaian dengan mudah menjajah tubuh mereka. Namun pun begitu ramai yang tidak menyedari akan hukum Allah dalam bertabarruj, malah ada juga yang tidak ambil peduli akan hukum Allah itu. Ini kerana banyak yang beralasan bahawa ingin tampil menarik dan tidak ketinggalan zaman. Malangnya, semua itu bukan pesona yang mereka tebarkan tapi menjurus kepada kefitnahan.

Menurutnya lagi, walaupun begitu, Islam tidak mengharamkan seratus peratus dalam bertabarruj.

“ Bertabarruj dalam keadaan bersederhana dan jangan membazir di bolehkan. Ini kerana, Islam pentingkan kebersihan. Ini juga dapat membantu menjaga nama baik dan kesihatan diri. Semua itu perlulah bermula dari niat yang murni dan bukan bertabarruj semata-mata untuk menggoda lelaki,” katanya.

Disamping menitikberatkan tentang kecantikan akhlak, Islam tidak melarang wanita bersolek untuk kecantikan fizik. Bersolek hukumnya wajib jika untuk suami tetapi haram untuk lelaki ajnabi.

Bertabarruj bukan hanya bersolek untuk tampil dengan lebih elegan malah terdapat banyak lagi ciri-ciri bertabarruj yang diharamkan seperti tabarruj diluar rumah dengan berhias bukan untuk suami, mendedahkan muka dengan tujuan merangsang keinginan syahwat lelaki dan fesyen-fesyen pakaian. Antara ciri-ciri pakaian syari’e wanita ialah pakaian mesti meliputi seluruh tubuhdan tidak menyamai dengan lelaki, tidak nipis atau pun ketat. Tudung pula mestilah menutupi bahagian dada.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah menutupkan kain tudung ke dadanya.

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi yang dimaksudkan dengan perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantikkan tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan make-up dan sebagainya.

Bertabarruj pada zaman jahiliah ialah membuka niqabnya, tapi tidak sama dengan tabarruj pada zaman kini, bukan setakat paras rupa yang dipamerkan, malah lebih dari itu. Secara umumnya, berhias untuk suami dibolehkan dan tidak dikira sebagai tabarruj.

Sekarang mari kita beralih pandangan pula. Bagaimanakah sikap ibubapa terhadap anak-anak mereka terutamanya anak-anak yang masih gadis remaja? Ramai ibubapa menggalakkan anak-anak gadis mereka supaya bermake-up dan berfesyen. Ini kerana mereka berpendapat bahawa dengan penampilan tersebut ia akan menjadikan anak-anak mereka tambah menarik kepada sesiapa yang melihatnya. Adakah mereka tidak mengetahui akan hukum-hukum Allah? Dan apakah mereka tidak mengetahui akan kesan-kesan buruk yang akan menimpa pada anak-anak mereka di kemudian hari? Jangan kita jadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga bila kemanisan anak-anak kita diragut oleh lelaki yang berajakan hawa nafsu diluar sana. Ibarat kata pepatah “habis manis sepah dibuang”.

Mana mungkin lahirnya wanita yang lurus elok, jika datangnya dari kayu yang bengkok. Begitulah peribadi wanita yang perlu dibentuk. Maka didiklah wanita dengan keimanan bukan dengan harta kekayaan dan kepujian. Kerana semua itu akan mendatangkan kemudharatan dihari kelak.

No comments: