Wednesday, February 4, 2009

MELUDAH KE LANGIT

Negara Malaysia kaya dengan pelbagai peribahasa, pepatah, kesenian pantun, seloka yang mencuit hati dan gurindam. Cuba renung sejenak akan setiap peribahasa yang di gubah, sesetengahnya adalah menggambarkan akan ciri-ciri masyarakat di Negara ini sekarang ini.

Mencurahkan air ke daun keladi, amat bertepatanlah peribahasa ini ditujukan pada rakyat yang masih mengagungkan barangan luar Negara berbanding dengan barangan sendiri. Adakah mereka masih tidak memahami dan menghayati tentang kualiti barangan tempatan yang sebenar berbanding dengan barangan luar?

Pelbagai usaha giat dijalankan untuk mendapat tempat dihati rakyat akan mutu dan kreativiti serta kesenian yang halus yang dihasilkan oleh pengeluar barangan tempatan agar menggunakan produk mereka.

Terdapat pelbagai barangan yang sepatutnya diagungkan oleh rakyat sendiri seperti batik, tenunan, tembaga, mengkuang yang mana sumbernya mudah didapati di Negara sendiri. Hasil semulajadi yang digunakan ini bukan sahaja menempatkan nama Negara ke peringkat antarabangsa, tapi dapat membantu ekonomi Negara itu sendiri. Di samping itu juga kita bertuah kerana mempunyai budaya yang penuh dengan ketimuran. Namun sebaliknya, mereka lebih gah membicarakan barangan luar berbanding dengan barangan tempatan.

Dewasa ini, terdapat pelbagai krisis Negara yang muncul, seperti contoh kenaikan harga minyak. Contoh yang paling hangat ini sepatutnya dapat membuka mata rakyat tentang pembaziran disamping terpaksa menampung kos minyak tersebut sebagai keperluan harian. Mengapa isu tentang kenaikan harga minyak ini dibicarakan sebagai membebankan rakyat sedangkan barangan luar yang diagungkan dikecualikan? Jika dibandingkan dengan teliti, barangan luar lebih mahal daripada barangan tempatan disamping cukai import, kos pengangkutan dan sebagainya.

Namun tentang kenaikan harga minyak ini tidak juga dipersetujui seratus peratus. Ada juga kebaikan dan ada juga keburukannya. Antara keburukannya ialah, kita mengatakan bahawa kita menjual ke Negara luar dengan harga yang tinggi. Cuba kita kaji tahap mana ketinggian nilai yang kita bicarakan itu? Contohnya dengan perbandingan matawang kita dengan matawang asing seperti United State Dollar (USD), 1 Dollar mereka telah mencecah hampir RM4 negara kita. Namun sebenarnya tahap ketinggian yang kita bicarakan sebenarnya adalah sedikit kos matawang bagi pelaburan mereka. Pada kesan yang singkat memang mendapat keuntungannya, jangka sederhana dan di masa hadapan siapa akibat kekurangan sumber dan kemiskinan rakyat siapa yang mahu tanggung? Biarlah kita seperti
Hati Gajah Sama di Lapah, Hati Nyamuk Sama dicicah.

Kita lihat pula pada kadar matawang asing dengan matawang Negara sendiri. Memang terdapat jauh beza akan nilainya. Maka disini telah terbukti keluaran tempatan dapat membantu Negara dalam proses perindustrian dan ekonomi. Disamping itu, nama Negara sendiri akan mendapat tempat di mata dunia. Begitu juga dengan perlancongan, di Malaysia terdapat banyak tempat-tempat menarik yang patut dikunjungi. Sebagai sebuah Negara yang berada di bawah garisan Khatulistiwa, kita sepatutnya bersyukur kerana kaya dengan flora dan fauna. Banyak tempat-tempat peranginan yang perlu di kunjungi bukan sahaja warga asing namun rakyat tempatan juga amat digalakkan. Seperti
Hujan Emas di Negara Orang, Hujan Batu di Negara Sendiri, Lebih Baik di Negara Sendiri.

Berbalik pula pada Negara yang kita banggakan, iaitu kaya dengan budaya ketimuran. Tidakkah kita kaji sejauh mana budaya tersebut dipraktikkan pada zaman yang serba millennium ini? Bila persoalan ini dibangkitkan, kita seperti cacing yang kepanasan sedangkan buktinya sudah berada didepan mata. Contoh yang terdekat ialah sambutan kemerdekaan. Walaupun cuba membebaskan diri dari Negara barat, hakikatnya kita masih lagi mengagungkan budaya asing, melalui cara sambutan kemerdekaannya, konsep perkahwinan, reka bentuk rumah, dan banyak lagi.

Bahasa ibunda adalah bahasa yang patut dibanggakan, selain ianya unik tapi penuh dengan lenggok bahasa yang lembut. Tidak salah mempelbagaikan banyak bahasa untuk mempermudahkan lagi dalam kehidupan harian selain dapat memperoleh banyak pengetahuan dan mudah untuk berkomunikasi dengan orang bukan tempatan. Tapi apa yang kita dapati sekarang sesama melayu sendiri juga tidak terlepas dari bertutur dalam Bahasa Inggeris, adakah mereka sudah lupa akan bahasa ibunda sendiri? Adakah kita gah bila dianggap sudah mendapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi atau
seperti kacang lupakan kulit?

Lihat pula pada gejala sosial yang semakin berleluasa di Negara ini. Pelbagai fesyen yang menjadi ikutan muda mudi masyarakat sekarang seperti Black Metal, Punk, Gothic dan sebagainya, tidakkah budaya dan fesyen tersebut bermula dari Negara barat? Jika dilihat pada didikan ibubapa pada zaman dahulu berbanding dengan didikan ibubapa pada zaman sekarang terhadap anak-anak mereka, dulu boleh dikatakan genggam bara api, biar sampai jadi arang, namun sekarang sudah bertukar pada bagai menatang minyak yang penuh. Ini kerana pada masyarakat zaman dahulu banyak memberikan anak-anak mereka peluang untuk berusaha terlebih dahulu sebelum menjanjikan mereka apa-apa tidak seperti sekarang, banyak memberi daripada disuruh berusaha.

Penggunaan pil-pil khayal juga semakin berleluasa di Negara ini. Pelbagai seminar di lancarkan namun hanya segelintir sahaja yang ambil peduli, yang segelintir lagi seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Menurut Timbalan Senator Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika ditemui dalam Perasmian Persidangan Kebangsaan Penyalahgunaan Dadah (PREVENT 08) bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia pada 29 Julai 2008, beliau sangat prihatin akan masalah seperti ini kerana dengan ini juga menyebabkan kadar jenayah negara semakin berleluasa disamping bahayanya pada diri pada masa akan datang.

Kadar peratus yang paling tinggi dalam jenayah menerima rasuah di Negara kita berpihak pada kakitangan kerajaan. Polis mendapat ranking pertama dalam kes ini. Apakah kita tidak mengambil kira tentang anggota polis yang lain yang tidak menerima rasuah? Bila tangga tertinggi ini diisi oleh pihak polis orang akan beranggapan bahawasanya semuanya melakukan kesalahan yang sama, seperti kerana nila setitik habis susu sebelanga.

Bagaimana pula dengan penerimaan masyarakat nanti terhadap polis yang beranggapan harapkan pagar, pagar makan padi? Peribahasa ini juga boleh diibaratkan kepada orang yang tidak berperikemanusiaan yang mana hanya untuk melepaskan nafsu serakahnya tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Seperti apa yang telah terjadi pada masyarakat kita hari ini seperti datuk rogol cucu dan bapa rogol anak.

Itulah fenomena yang terjadi sekarang. Adakah kita sudah berpuas hati atau sebaliknya dengan kehidupan sekarang.
RENUNGKAN..

No comments: