Tuesday, October 21, 2008

RENUNG-RENUNGKAN...



KEHIDUPAN MANUSIA YANG TIDAK BERKESUDAHAN.

Kehidupan manusia umumnya terikat dengan pelbagai tanggungjawab. Sebagai insan, ia bertanggungjawab terhadap Tuhan Pencipta, Allah Yang Maha Kuasa dan juga terhadap keluarga, masyarakat dan negara atau bangsanya. Tanggungjawab inilah yang menentukan berjaya atau gagalnya melayari kehidupan di dunia yang sarat dengan pancaroba ini. Mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. merupakan tanggungjawab seorang insan terhadap Tuhannya yang telah menciptakannya dengan sempurna dan melimpahkan kurniaan yang tidak terhitung. Pengabdian ini pula membawa pelbagai tanggungjawab yang lain yang terangkum dalam ketaatan terhadap perintah Allah s.w.t. dan kesungguhan meninggalkan larangan-Nya. Jika ini berjaya dilaksanakan oleh seseorang hamba, maka jadilah ia seorang yang berjaya dalam erti kata yang sebenarnya. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Qur'an : Terjemahan : “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solat mereka; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perekataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan harta mereka (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatan diri mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah serta janji mereka; dan mereka yang tetap mendirikan solat mereka, mereka itulah yang berhak mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mu'minun 23 : 1-11) Demikian pula tanggungjawab terhadap keluarga, seseorang yang menyedari bahawa apa sahaja peranan yang perlu dilaksanakannya semasa menjalani kehidupan yang sementara di dunia ini, akan dipersoalkan di akhirat kelak, akan berusaha segigih mungkin menyempurnakannya. Hasratnya mungkin kerana mahu memenuhi keperluan orang yang lain menjadi tanggungjawab yang digalas di bahunya dan mahu menjadi hamba Allah yang beramanah. Atau juga kerana menyedari peri pentingnya ia melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, kerana jika ia mengabaikannya, kesan buruknya akan berbalik kepada dirinya juga. Sebagai contoh, jika ia seorang ketua keluarga dan ia mengabaikan tanggungjawab mendidik anggota keluarganya menjadi insan yang beriman dan berakhlak mulia, lalu kerana kecuaiannya, mereka terjebak dalam pelbagai masalah sosial yang menggugat ketenteraman keluarga dan masyarakat amnya, maka sudah pastilah akhirnya ia juga yang menanggung sesalan dan berhempas pulas mencari penyelesaian bagi kemelut yang melanda. Malangnya pula, usaha menangani gejala keruntuhan akhlak tidaklah semudah yang dijangka. Arus pembangunan yang terlalu pesat kelihatannya dengan mudah menewaskan anak bangsa yang rupa-rupanya memiliki jiwa yang rapuh. Tanggungjawab terhadap negara atau bangsa pula menuntut pengorbanan dan usaha yang bukan sedikit. Malah, ketulusan hati dan keikhlasan jiwa turut diperlukan bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan amat berjaya. Berbicara tentang tanggungjawab warga Malaysia terhadap negara tercinta ini, kita wajar mengaitkannya dengan pelbagai cabaran yang telah dihadapi; sebelum negara mencapai kemerdekaan sehinggalah sesudahnya. Di situlah letaknya tanggungjawab sebenar setiap rakyat yang mengakui mencintai negara ini sepenuh hati. Sepatah kata pemimpin negara, rakyat yang bertanggungjawab menyedari bahawa ia memikul tanggungjawab yang besar untuk mengisi kemerdekaan, dan tanggungjawab ini jauh lebih berat dan payah berbanding dengan usaha mendapatkan kemerdekaan. Negara kita telah menghadapi pelbagai liku, ancaman dan ujian. Kita sebagai warganya sejak generasi ke generasi juga jatuh dan bangun dalam menghadapi cabarannya yang sungguh getir. Kebijaksanaan, kesabaran dan ketekunanlah yang menyelamatkan kita dalam banyak keadaan. Kejayaan kita pada hari ini bukanlah bererti kita wajar berasa selesa dan hanya perlu bersantai menikmatinya tanpa perlu berusaha mengukuhkan serta memperbaik kedudukan. Sesungguhnya cabaran masa hadapan lebih besar getirnya dan sebahagian besarnya mungkin tidak terduga oleh daya fikir kita. Oleh yang demikian, wajarlah kita membuat perencanaan yang rapi dan tersusun. Sekurang-kurangnya apabila mendepani kesulitan, tidaklah kita kehilangan arah untuk mendapatkan kunci penyelesaiannya. Inilah juga yang ditegaskan oleh bekas YAB Perdana Menteri dalam pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) pada 30 Oktober yang lalu. Menurut beliau, modal manusia adalah kunci masa depan kita semua. Usaha mewujudkan tenaga kerja yang berdaya saing secara global ialah asas peningkatan daya saing dan tarikan pelaburan baru. Untuk tujuan ini, pembangunan sumber manusia akan menumpukan kepada tiga dimensi iaitu, pembangunan pengetahuan, pencapaian kemahiran dan penanaman nilai positif. Membangunkan pekerja yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran yang pelbagai tidak semestinya menjamin produktiviti yang tinggi kerana adalah juga penting bagi pekerja berkenaan mempunyai etika kerja yang baik di semua peringkat. Menurut beliau lagi, sesungguhnya kejayaan atau kegagalan sesuatu bangsa mempunyai kaitan yang rapat dengan budaya iaitu jumlah nilai-nilai yang dipegang dan diamal oleh bangsa itu. Oleh itu, usaha-usaha akan diambil untuk membentuk budaya bangsa Malaysia yang bersikap positif terhadap kerja, berdisiplin, rajin dan bertanggungjawab. Jika budaya ini diserapkan, semua rakyat Malaysia sama ada di desa atau di bandar, daripada apa jua kumpulan etnik akan menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera. Justeru, pusat-pusat latihan dan pendidikan akan memasukkan pengajaran berkenaan dengan budaya dan kesannya semasa memberikan latihan kemahiran dan didikan. Kesimpulannya, masa depan bangsa dan negara ini bergantung pada perkembangan dan pencapaian keilmuan yang rancak dan keteguhan rakyat berpegang pada akhlak mulia dan nilai murni. Nampaknya kita sekali lagi diingatkan tentang kepentingan ilmu pengetahuan yang sebenarnya tidak pernah dapat dipisahkan daripada kejayaan sesuatu bangsa dalam membina tamadunnya yang tinggi dan bernilai. Namun demikian, satu perkara yang perlu juga kita teliti setinggi manakah cinta rakyat negara ini terhadap ilmu dan sejauh manakah kita bersedia menyemarakkan budaya keilmuan dalam diri, keluarga dan masyarakat. Dan lebih penting daripada itu pula, sejauh manakah kita berjaya mempraktikkan ilmu bermanfaat yang kita miliki itu sehingga ia benar-benar dapat membina keperibadian diri kita yang amat tinggi. Jika tahap kecintaan terhadap ilmu masih di peringkat sederhana maka bergandalah usaha yang perlu digerakkan untuk menjadikan harapan murni ini suatu kenyataan. Usaha ini sudah pastilah memerlukan iltizam dan kesedaran yang tinggi di kalangan setiap warga negara ini. Semua kita sekurang-kurangnya perlu mempunyai kesedaran bahawa hanya dengan ilmu kita akan mencapai kejayaan dan kebahagiaan yang sejati di dunia dan juga di akhirat kelak. Dengan kesedaran ini, kita akan memastikan bahawa dalam apa jua keadaan dan bentuknya, ilmu pengetahuan akan kekal menjadi keutamaan dan tidak sekali-kali akan dipinggirkan. Maka berlumba-lumbalah kita mencari ilmu untuk bekalan masa hadapan. Kecintaan terhadap ilmu pengetahuan ini juga dapat kita ukur melalui pelbagai cara. Antara yang jelas dan terang ialah budaya membaca yang diamalkan di kalangan masyarakat negara ini. Sebanyak manakah kita membaca buku dalam sehari, seminggu, sebulan atau setahun? Bahan bacaan apakah pula yang digemari oleh kita untuk ditatap? Berapa tinggikah peratus permintaan terhadap bahan-bahan bacaan yang bersifat keilmuan? Laporan media yang memberikan jawapan bagi semua persoalan ini jelas menunjukkan bahawa kecintaan kita terhadap ilmu dan pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat berada di tahap yang minimum. Hakikat ini sudah tentu menimbulkan kebimbangan bahawa hasrat kita untuk mencapai kemajuan yang tulen sifatnya, iaitu berdasarkan ilmu sudah pasti akan melalui laluan yang agak sukar. Apatah lagi untuk bersaing dengan bangsa maju yang lain di dunia. Untuk mencari penyelesaiannya, maka sudah barang tentu kesedaran dan iltizam atau komitmen yang padu selain kerjasama erat setiap pihak diperlukan. Misalnya untuk menarik minat membaca di kalangan masyarakat pelbagai kempen telah diadakan. Sebagai contoh ialah kempen Bulan Membaca Kebangsaan yang digerakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) saban tahun. Jika sebelumnya bulan Ogos diisytiharkan sebagai Bulan Membaca Kebangsaan, bermula pada tahun 2001 bulan Julai pula diisytiharkan sebagai Bulan Membaca Kebangsaan bagi menggantikan bulan Ogos. Malah, sebagai Urusetia Jawatankuasa Gerakan Membaca Kebangsaan, PNM berperanan untuk menyelaraskan program galakan membaca seperti bengkel pengendalian aktiviti membaca, khususnya untuk menggalakkan budaya membaca di pelbagai institusi dan lapisan masyarakat, terutamanya di kalangan penduduk luar bandar. Selain itu, PNM juga turut menjalankan program tahunan yang membabitkan pelbagai peringkat umur iaitu kanak-kanak, remaja dan juga golongan dewasa. Antara aktiviti yang diadakan untuk golongan remaja dan dewasa termasuklah Pengucapan Awam, Ceramah Penghayatan Sejarah, Ceramah Motivasi, bengkel, seminar dan sebagainya. Khusus bagi kanak-kanak pula, aktiviti-aktiviti yang dijalankan meliputi Sesi Bercerita, Boneka, Teater, Bengkel Pencarian Maklumat Melalui Komputer, Kem Komputer, Peraduan Ilustrasi Kreatif Buku dan sebagainya. Semua aktiviti ini mempunyai kaitan dengan pembacaan dan membabitkan penggunaan buku di perpustakaan. Kaedah ini dapat memupuk minat di kalangan masyarakat untuk membaca dan menjadikan buku sebagai teman setia sepanjang masa. Selain peranan yang dimainkan oleh penyimpan khazanah buku dan kitab terbesar negara ini, ada juga usaha lain yang harus diberikan pujian. Misalnya prasarana yang indah dan sangat kondusif yang diwujudkan bagi meningkatkan amalan membaca. Di samping gedung rujukan buku seperti perpustakaan, kedai-kedai buku juga nampaknya memberikan kerjasama yang amat memberansangkan. Matlamat kedai-kedai buku ini mewujudkan suasana yang menarik dan menyeronokkan bagi setiap khalayak pembaca, khususnya bagi kanak-kanak dan penuntut berkemungkinan lebih untuk meningkatkan jumlah pengunjung dan pembeli. Namun, secara tidak langsung, inisiatif mereka nampaknya turut menjayakan usaha gigih pihak berwajib untuk menggalakkan rakyat menjadikan kedai-kedai buku sebagai tempat kunjungan utama semasa menghabiskan masa terluang di kompleks membeli-belah dan sebagainya. Kebiasaan mengunjungi kedai buku ini selanjutnya akan membibitkan budaya membaca dan akhirnya akan tercapailah hasrat negara melahirkan rakyat yang gemar membaca, khususnya bahan bacaan yang berfaedah dan dapat menambah daya intelektual. Fenomena ini nampaknya menunjukkan perubahan positif yang agak ketara berbanding dengan beberapa tahun yang lalu. Datuk Johan Jaaffar, mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pernah meluahkan dalam ruangan popularnya, Nota Kaki (27 Januari 1997) bahawa kedai buku bukan kedai ilmu di Malaysia. Beliau mencatat, “Pelanggan awal-awal sudah dicurigai sebagai bakal pencuri dan perosak. Kanak-kanak dilihat sebagai bakal pengoyak, pembuat bising dan pengacau. Jangan bawa lebih daripada tiga orang kanak-kanak ke kedai buku. Terlalu banyak perkara yang tidak boleh dibuat di kedai buku. Termasuk membelek dan menghayati buku baru. Atau duduk di lantai (kerana kerusi dan meja tidak disediakan) untuk membelek atau membaca buku.” Tulis beliau lagi, “Di Malaysia, sudahlah tidak banyak kedai buku yang baik. Kalau adapun yang besar, keadaannya tidak lebih daripada kedai runcit menjual asam, garam dan belacan. Keadaannya sesak atau terasa menyesakkan. Sebab buku bagi pemilik kedai buku ini tidak lebih daripada komoditi atau barang dagang. Buku tidak pernah dihormati di kedai buku kita. Di banyak negara maju, kedai-kedai buku lebih prihatin pada pelanggannya. Falsafah kedai-kedai buku, terutamanya yang dimiliki oleh rangkaian ternama ialah, “buku merupakan perniagaan kami.” Maka itu apa sahaja yang membabitkan buku diberikan keutamaan. Pertamanya kedai buku menyediakan ruang yang luas dan terbuka kerana itu akan membuka jendela minda. Buku tersusun kemas berdasarkan kategori pustakawan profesional. Buku boleh dibaca dan banyak kedai buku dibuka hingga tengah malam. Bagi sesetengah gedung buku yang besar, disediakan café atau sudut kopi. Pelanggan boleh membaca buku atau majalah (termasuk yang belum dibeli) di dalamnya. Di samping itu, kedai buku mengadakan pelbagai kegiatan mengenai buku. Buku baru dilancarkan di kedai buku. Penulis buku diperkenalkan di kedai buku. Diskusi buku dbuat di kedai buku. Kedai buku juga terlibat dalam pelbagai kegiatan perbukuan dan keilmuan lain termasuk mengesan cita rasa pembaca dan mengkaji pola pembacaan semasa. Pendeknya, kedai buku lebih daripada hanya kedai buku. Kedai buku ialah kedai ilmu. Atau gedung atau gapura ilmu, tidak kiralah istilahnya. Kedai bukulah tempatnya di mana pelanggan buku, bakal pembeli, peminat buku, pencinta buku, ulat buku, penaksub buku serta pembenci buku menghabiskan banyak masa (sebanyak yang mereka suka). Kerana pemilik buku mahu bukunya dijengah, diintai, disemak, dibuka, dibaca selain tentunya dibeli.” Tanya beliau seterusnya, “Berapa lamakah anda boleh bertahan di kedai buku di Malaysia? Paling lama 15 minit. Di banyak kedai buku, anda sebenarnya mahu cepat-cepat masuk dan cepat-cepat keluar. Patutnya kedai buku negara ini memperagakan slogan “Masuk, Beli, Cabut”. Sebab suasananya, persekitarannya, sikap petugasnya, susunan bukunya dan kandungan kedainya sama sekali anti ilmu. Janganlah bercakap tentang layanannya. Pembantu kedai sama jahilnya dengan anda. Setiap pertanyaan mengenai buku akan menerima jawapan yang sama, “dekat rak sana” atau “mungkin dah habis.” Malaysia sedang bergerak meralisasikan Koridor Raya Multimedia (MSC). Sedangkan banyak kedai buku di negara ini tidak tahu apa yang ada dan tidak ada di dalam kedainya. Negarawan Republik Czech yang terkemuka, Vaclav Havel, yang pernah dipenjarakan oleh negaranya sebelum menjadi presiden negara tersebut pernah berkata, pencapaian keilmuan sesuatu bangsa sepatutnya diukur pada pencapaian sasterawannya, tradisi perbukluannya dan gedung ilmunya. Perkara yang ketiga itu maksudnya perpustakaan dan kedai bukunya. Kalau menggunakan kayu ukur Vaaclav Havel, pencapaian keilmuan kita sebenarnya masih jauh dari memuaskan.” Bicara tentang kecintaan terhadap ilmu ini juga tidak terhenti sekadar amalan membaca bahkan lebih penting lagi ia turut membabitkan penuntut-penuntut yang berada di pelbagai institusi pendidikan negara ini dan juga penyelidik-penyelidik di pelbagai institusi penyelidikan. Bagi penuntut, mereka ini bukan sahaja diharapkan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu semasa masih memiliki kekuatan minda dan fizikal, bukan sekadar untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan demi peperiksaan yang diadakan tetapi juga berkeupayaan untuk mencerna ilmu yang diperoleh dengan sebaik-baiknya. Dengan yang demikian, mereka akan berjaya membentuk kemahiran tinggi yang diharap-harapkan. Demikian juga dengan kumpulan penyelidik, khususnya yang menjalankan penyelidikan dalam bidang penghasilan produk, mereka amat diharapkan untuk meningkatkan daya cipta dari semasa ke semasa. Menurut bekas YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kelapan tempoh hari, walaupun Malaysia telah bersiap sedia untuk menerima ekonomi berasaskan pengetahuan, aktiviti daya cipta tempatan masih lagi ketinggalan. Keupayaan inovasi dan teknologi di kalangan industri kita pada umumnya adalah rendah. Kebanyakan industri tempatan hanya menggunakan teknologi sedia ada atau yang diubah suai. Kemajuan yang dicapai oleh industri getah dan kelapa sawit hasil kajian daripada penyelidik dan pembangunan tidak berkembang kepada bidang industri pembuatan. Sekiranya industri pembuatan terus menunggu ciptaan orang lain, mereka tetap akan tertinggal di belakang dan akan merosotlah prestasi. Insentif yang bersesuaian untuk menggalakkan dan memperbaiki S & T serta keupayaan inovasi akan diperkenalkan agar lebih banyak firma Malaysia berupaya membuat peralihan teknologi unuk menjadi pereka cipta. Untuk memastikan penawaran sumber tenaga S & T berkualiti yang mencukupi, pelajar terbaik akan digalakkan untuk mengikuti program dalam sains tulen, termasuk di peringkat selepas ijazah dan selepas doktor falsafah. Biasiswa tambahan dan bentuk kewangan yang lain akan disediakan untuk tujuan ini. Malah prosedur untuk mengambil khidmat pekerja asing berkemahiran tinggi dalam sektor berintensifkan teknologi akan terus diberikan kelonggaran. Nah, perancangan yang digagaskan cukup memberansangkan dan yang tinggal hanyalah kesungguhan serta keazaman yang tinggi pada semua pihak terutama pelajar-pelajar. Selain perkembangan yang amat positif ini, satu perkara yang tidak wajar sama sekali ialah pembelajaran ilmu yang bermanfaat tanpa diamalkan. Ini kerana, pembelajaran ini akan hanya menjadi sia-sia kerana ia tidak langsung mendidik jiwa dan keperibadian seseorang. Maka kekallah harapan itu sebagai harapan kerana setinggi kerana setinggi mana punilmu yang bermanfaat itu dicapai, tanpa diamalkan ia tidak berharga sama sekali seumpama pokok yang tidak berbuah, sebagaimana yang diungkapkan oleh pepatah Arab yang masyhur. Usaha menyemai nilai positif dan akhlak mulia sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan pembudayaan ilmu di kalangan rakyat. Rakyat atau warga yang berilmu (dan yang mengamalkan ilmu mereka) sudah pasti memiliki akhlak yang mulia. Ini kerana, mereka sentiasa sahaja dibimbing oleh ilmu yang tersemat dalam dada. Ilmu yang benar akan membentuk keperibadian seseorang dan menjadikan ia seorang yang arif untuk membezakan antara yang baik dengan yang sebaliknya. Bukankah juga telah dijelaskan dalam al-Qur'an bahawa orang yang berilmu dikurniakan beberapa darjat. Ayat ini antara lain menjelaskan bahawa darjat yang dimaksudkan itu ialah kedudukan yang mulia yang dicapai oleh seseorang apabila ia memiliki sesuatu ilmu. Kedudukan yang mulia ini sudah tentu menunjukkan bahawa ia seorang yang berakhlak dan berkeperibadian tinggi. Seruan supaya nilai murni dan akhlak mulia disemai telah kita dengar lama dahulu. Namun tidaklah dapat kita pastikan sama ada ia benar-benar disambut oleh sekalian rakyat atau penerimaan terhadap seruan ini bermusim seumpama yang diungkap oleh peribahasa Melayu, “Seperti pahat dengan pemukul….” Banyak nilai yang kita pegang dan amalkan sejak sekian lama terbukti terhakis dek peredaran masa. Maka ada pihak yang mencari puncanya dan pembangunan dijadikan alasannya. Menurut mereka lagi, inilah harganya yang perlu dibayar untuk nilai pembangunan dan kemajuan. Kenyataan ini mungkin juga ada benarnya tetapi sebelum kita membuat kesimpulan wajarlah juga kita kaji kebenarannya yang mungkin terselindung. Adakah benar setiap bangsa yang maju akan mendepani bencana kerapuhan nilai yang digenggam sebelumnya? Adakah pembangunan dan kemajuan merupakan musuh bagi ketinggian budi dan akhlak sesebuah bangsa? Jika kita mahu mengambil kesimpulan yang mudah, iaitu dengan mengamati nasib atau keadaan yang melanda beberapa bangsa yang maju di dunia, kita akan mendapati bahawa jawapan bagi kesemua persoalan yang dikemukakan itu adalah “ya, sememangnya benar!” Bagaimana pula jika kita bergerak dengan gerak dan rentak kita sendiri? Maksudnya, kita lawanlah arus yang ada. Kita maju dengan cara kita sendiri, iaitu dengan menentukan falsafah kemajuan menurut takrif kita sendiri bukan dengan cara yang diterima oleh masyarakat dunia seluruhnya. Misalnya, kita letakkan takrif kemajuan yang sebenarnya; yang tulen dan yang sejati ialah kemajuan duniawi dicapai untuk mencapai keredaan Ilahi dengan memastikan usaha mencapai kemajuan tidak sekali-kali terbabas dari landasan yang ditetapkan oleh syarak. Jika sekalipun kita menghadapi halangan dalam memastikan takrif kemajuan menurut kehendak kita ini tercapai, kita akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan bahawa langkah yang diambil bukan atas kepentingan jangka pendek semata-mata tetapi lebih penting lagi untuk masa hadapan yang amat jauh yang tidak terjangkau oleh fikiran kita. Jika ini dapat kita lakukan, maka kitalah manusia yang berjaya dalam maksud yang sebenar. Berjaya dengan maksud kita menjadi manusia yang benar-benar mengenali dunia dan yang mengerti bahawa sebagai khalifah, tanggungjawab kita tidak pernah berkesudahan untuk memakmurkan dunia serta penghuninya dengan penuh ketaqwaan dan ketulusan hati.

MANUSIA DAN TANGGUNGJAWAB YANG TIDAK PERNAH BERKESUDAHAN

Friday, October 17, 2008

MACAM-MACAM DA...

Assalamualaikum,,,
Inilah baju rasmi course aku,,,mengelip2 gitu. Macam nak nasyid pula kan? Masa ni aku dah tahun 2 dah. Uniform untuk outdoor lain pula colornya. Sebulan dua kali pakai. Walaupun malu nak pakai coz ramai yang tanya ada performnce apa2 ke, aku mengiyakanlah,, cakap ada pertandigan nasyid..hehehe. Ada yang cakap group Digi Bersamamu 2... bersamamu, bersama walau kemana jua,, lautan dalam kuredah, gunung tnggi bukan pemisah antara kita,,, bersamamu,, sejak sentuhan pertama..(ish, smpat nyanyi lak) .ppehal aku ok je... nohalnyer...

Dah lama aku nak buat blog sendri sebenarnya tapi tak berkesempatan...bukan bz tp buat2 bz..hehehe...

Okla,,,aku nak citer skit mengenai aktiviti aku sekarang ni.. aku student communication major in journalism, lecturer aku pesan jangan terlalu asyik dengan raya, coz kena publish 1 edition newspaper, sesambil raya kena cri news juga, 1 untuk publish 2 lagi untuk subject lain tapi raya punya pasal, aku lupa pasal semua 2.. smpailah aku kat hostel balik, kawan2 tanya aku dah dapat news ke belum? aku cam mamai lagi, pastu dia tnya pula tajuk rencana aku, objectivity, prepare untuk presentation, n banyak lagi lah,, aku senyum je,,, diorang ingatkan aku dah siap. Geleng pun x angguk pun x. Macam baby baru lahir, xtau apa. aku blur semua 2, lepas tu aku cakaplah aku x sediakan apa2 lagi sedangkan aku memang xtau sampai banyak 2 kena buat .hehehe... nak tau kenapa?

Coz aku selalu tuang claz, bila orang gtau aku x take note pun,, hehehe.. sekarangg ni aku dah pun selesai buat 2 n 3 kerja, tp banyak lagi yang x selesai. K lah aku chow dulu.. nnt aku smbung lain kali,wassalam.

CINTA


CINTA,,,

KADANG2 MEMBERI KEBAHAGIAAN,,,
KADANG MEMBAWA KEDUKAAN,,,

NAMUN SETIAP CINTA TIADA NIKMATNYA BILA TIADA KERINDUAN YANG TERBIT DARI HATI, TIADA KASIH DAN SAYANG YANG TERBIT DI JIWA, TIADA KEJUJURAN YANG MEMBAWA KESETIAAN.

SEMUA ITU MEMBAWA PENGAJARAN UNTUK MEMBENTUK KESABARAN DAN MEMPEROLEH CINTA YANG HAKIKI.

SAHABAT














SAHABAT,,,

YANG SETIA SUKAR DICARI,,,

YANG MULIA DISISI ILLAHI,,,

DIA KETAWA BILA SAHABATNYA BERGEMBIRA,,,

DIA BERDUKA BILA SAHABATNYA DITIMPA BENCANA,,,


BAGINYA,,,

PERSAHABATAN YANG DI UKUR PADA KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN,,,

BUKAN PADA RUPA DAN KEBENDAAN.